Pages

Wednesday 30 November 2011

Istana Mysore
Tahta Maharaja Mysore

 Masya-Allah, belum pernah saya saksikan sebuah istana yang terbina dengan kesenian yang begitu halus dan kemegahan yang begitu mengasyikkan.
Melangkah ke dalam dewan istana yang luas membuatkan kami seperti dikembalikan ke alam beberapa ratus tahun yang lampau. Terdapat beberapa buah dewan di dalam istana ini. Antaranya ialah Marriage Pavilion, Durbar Hall, Diwani Aam, Diwani Khas, Peacock Pavilion dan sebagainya. Perhatian, di sini, 'w' kebiasaannya disebut sebagai 'v'. Kebetulan dalam bulan Oktober, Mysore menyambut pesta Dasara secara besar-besaran selama sepuluh hari. Pada waktu inilah kesemua gajah diraja akan dibawa keluar, dihias dengan kain tenun dan payung kebesaran. Sebuah perarakan diraja berlangsung dari Istana Mysore melalui beberapa jalan utama di Bandar Mysore menuju ke taman Banni Mantap. Sayang sekali, saya terpaksa 'melepaskan' pesta Dasara atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Sewaktu saya sampai di Mysore, Pesta Dasara telah pun berakhir lebih kurang seminggu yang lalu.

Ambavilasa-Diwani Khas
 Istana Mysore pernah mengalami kerosakan yang teruk akibat dipanah petir dan terbakar. Ia juga pernah berpindah tempat atas arahan Hyder Ali yang mahu mendirikan sebuah kota baharu - Nazarbad. Akibatnya istana ini terbiar dan tidak berjaga dengan baik. Istana ini sekali lagi mengalami kebakaran sewaktu temasya perkahwinan Puteri Jayalakshmimamanniyavaru yang melibatkan sebahagian besar bangunan kayunya musnah. Bagi mengekalkan keindahan dan kemahsyuran istana ini, Maharani Vanivilasa Sannidhana telah memerintahkan agar sebuah istana baru dibina atas tapak istana lama berpandukan rekabentuk istana Mysore yang asal.
Seperti istana lama yang lain di India, ia juga dibina berkonsepkan halaman yang terbuka luas dengan hanya berbumbungkan langit. Halaman sebegini dipanggil Thotti. Kami memasuki dan melalui Elephant Gate seterusnya dan ke bahagian yang mengumpulkan lukisan dan hasil kerja seni - Kalyana Mantapa ataupun The Marriage Pavillion.
Kalyana Mantapa
Di tengah-tengah Kalyana Mantapa terdapat sebuah kubah kaca berbentuk oktagonal. Kubah ini dihiasi dengan motif bulu burung merak, sepadan dengan jubin marmar pada lantai di bawahnya. Oleh kerana itu, ia juga dikenali dengan nama The Peacock Pavilion. Menariknya, di sekeliling Kalyana Mantapa ini, terdapat lebih kurang 26 lukisan mural pada dindingnya yang merakamkan kisah temasya Dasara yang gilang-gemilang. Projek melukis secara besar-besaran ini telah dijalankan di bawah seliaan Maharaja Krishnaraja Wodeyar IV. Ia merupakan hasil kerjatangan pelukis-pelukis tempatan dari Mysore sendiri. Jika boleh, saya mahu meramkan kesemua 26 buah lukisan mural tersebut melalui lensa telefon bimbit. Memanglah ia mengambil masa yang lama kerana kehadiran orang ramai yang bertali-arus dan sama-sama teruja seperti saya untuk mengambil gambar di setiap ceruk istana tersebut. Tambahan pula Ummi sudah jauh meninggalkan saya. Rasanya dia sudah khatam mendengar penerangan dari audio itu berkali-kali. Saya masih berdiri di tempat yang sama. Haha, kasihan Ummi. Ada sesiapa tak yang mahu ikut saya ke Mysore semula?... Banyak lagi tempat yang saya belum lawat di sini dek kerana mahu berkejar ke Calicut pula. Patutlah kebanyakan mat saleh sanggup tinggal dua tiga bulan di India. So much to see and experience here!

Hmm, sudah hampir setengah jam saya cuba download gambar-gambar mural di sini. Ada banyak tetapi saya hanya memilih beberapa keping sahaja. Pencahayaan yang terlalu terang dan kadang-kala terlalu gelap menyebabkan saya sukar mendapat imej yang terbaik. Saya tidak pasti mengapa mereka tidak membenarkan pengunjung membawa masuk kamera. Adakah flash kamera boleh merosakkan ketahanan dan memendekkan usia barang-barang lama ini? Apa yang pasti, saya berasa tidak puas.

Perarakan Diraja










Perarakan berkuda
Sukarnya hendak menangkap gambar dari sisi yang terbaik!
Peacock Dome-Hasil sentuhan Walter Macfarlane Saracen Foundry dari Glasgow
Baiklah, niat di hati hendak menulis langsung keseluruhan penjelajahan Istana Mysore tetapi sudah banyak masa saya terbuang kerana cuba memasukkan gambar. Ada tugasan lain yang lebih utama untuk saya sudahkan. Mohon maaf dan terima kasih atas kesabaran anda. Insya-Allah, ceritera ini akan disambung sedikit masa lagi. Sila berkunjung kembali!


 

Wednesday 23 November 2011

Mysore - Hari Kedua

Istana Mysore - paling cantik dari sisi ini
Menurut kepercayaan masyarakat tempatan, sejarah Mysore atau nama asalnya, Mahisur bermula dari atas Bukit Chamundi itu sendiri. Di situlah Dewi Durga menewaskan seekor syaitan lembu bernama Mahishasura. Setelah itu, Sang Dewi mengambil keputusan untuk menetap di atas bukit dan orang ramai pun membina sebuah kuil untuk menyembahnya. Tidak jauh dari situ, terdapat juga sebuah kuil kecil yang terletak di Doddakere. Ahli sejarah India menulis bahawa pada tahun 1399 A.D, dua beradik yang dikenali sebagai Yaduraya dan Krishnaraya telah mengembara dari Dwaraka di Gujarat untuk menyembah Dewa Narayana di kuil tersebut.Dua beradik ini kemudiannya telah jatuh hati dengan keindahan perkampungan Mysore lalu memilih untuk menetap di situ. 

Mengapa saya menulis tentang cerita ini? Jika mahu tahu, ikutilah kisah selanjutnya... .

Pada suatu malam, mereka mendapat alamat dalam mimpi supaya bermalam di sebuah lagi kuil yang berhampiran di Kodibhairava. Menjelang subuh, mereka berdua terdengar berita mengenai seorang puteri dari kerajaan kecil Mysore yang dipaksa berkahwin dengan Maranayaka - Dalavoy (perdana menteri) dari Karugahalli. Maharani Chamaraja yang baru sahaja kehilangan suaminya telah diugut oleh perdana menteri tersebut supaya menyerahkan puterinya bagi melayakkan Maranayaka ditabalkan menjadi Maharaja Mysore yang baharu. 

Maharani Chamaraja pula, mendapat arahan daripada kaum kerabatnya (dalam mimpi juga) supaya membawa puteri dan seorang sami diraja untuk melangsungkan perkahwinan di kuil Kodibhairava tadi. Sampai di sana, sami diraja pun menceritakan tragedi yang menimpa keluarga diraja Mysore. Lalu dengan pertolongan Yaduraya dan Krishnaraya, mereka berjaya menbunuh dan mengalahkan Maranayaka bersama pengikut-pengikutnya. Puteri tersebut pun dikahwinkan dengan Yaduraya yang akhirnya menjadi tunggak kepada kewujudan dinasti Wodeyar Mysore pada hari ini.

Istana Mysore-Mood Panorama
Inilah pemandangan indah Istana Mysore yang terakam dalam kamera kompak Sony saya. Untuk mendapat imej yang lengang tiada berorang memanglah sukar. Ada sahaja keluarga yang datang ke depan untuk bergambar. Jadi, sebelum saya dan Ummi hangus terbakar di bawah terik mentari Mysore, ada baiknya saya cepat-cepat merakamkan apa-apa yang patut. Alhamdulillah, cuaca cerah dengan langit biru berhias tompokan awan-gemawan menjadikan gmabar ini laksana sekeping poskad.

Okay, di dalam istana, pengunaan kamera adalah dilarang kecuali kamera dari telefon bimbit. Beg akan diimbas dan kamera perlu diserahkan kepada petugas yang akan menyimpannya di dalam loker khas. Kaunter tempat menyimpan kamera ini terletak betul-betul di sebelah kanan pintu masuk ke kawasan istana. Janganlah memandai-mandai hendak selit di sana-sini kerana nanti tidak fasal-fasal terpaksa menapak jauh dari istana berpatah balik ke pintu masuk untuk menyerahkan kamera anda. Tiket masuk istana berharga Rs200 bagi pelancong asing dan hanya Rs20 bagi pelancong tempatan. Hmmm, itu pun mereka suka berebut-rebut di kaunter. Jangan haraplah hendak beratur. Ummi pun naik rimas melihat orang ramai memintas saya. Padahal, saya seorang sahaja perempuan yang membeli di kaunter. Mungkin sudah budaya mereka memandang perempuan sebagai golongan kelas kedua. Tetapi bila nampak perempuan mat saleh... ~tutup mulut sebab takut mengumpat!~

Jayamartanda Gate
  
Kawasan istana dikelilingi oleh tembok dan kubu yang panjang. Terdapat lima buah pintu masuk namun yang paling besar dan menonjol sekali ialah Jayamartanda Gate di sebelah timur. Kesemuanya dibina dengan senibina Indo-Sarcenic. Pada hari ini, semua pelawat yang berkunjung ke mari menggunakan pintu di sebelah selatan yang dikenali sebagai Varaha Gate. 
Sebenarnya, sebelum saya masuk ke dalam istana dan membeli sebuah buku kecil bersama sekeping cd dan satu set poskad, tidak banyak yang saya ketahui mengenai Istana Mysore. Saya hanya tahu bahawa dalam beberapa tahun pemerintahan kerajaan Mysore, ia telah diambil alih oleh seorang komander diraja Krishnaraja Wodeyar II bernama Hyder Ali yang berasal dari Hyderabad. Beliau disifatkan sebagai de facto ruler of Mysore. Kerajaan Mysore berada di bawah pemerintahan Hyder Ali dari tahun 1761 sehinggalah anaknya, Tipu Sultan digulingkan oleh pihak British pada tahun 1799. Nanti saya bawa anda melawat ke tapak arkeologi Tipu Sultan di Mysore. Sekarang, mari kita simpan kasut di tempat letak kasut istana kerana dalam istana tidak dibenarkan memakai kasut. (Tempat simpan kasut ini percuma saja tapi hari itu, saya telah diminta untuk membayar Rs10. Tips katanya... pada hal sudah terang-terang bertulis - FREE SERVICE) 
Nahi... Me paisa nahi doonga!
Okay, setelah siap memakai alat audio seperti di Bangalore Palace, mari kita menjelajahi Mysore Palace of India.

Kawasan pameran peralatan diraja










Macam pernah nampak?
Singgahsana Diraja
   

















 
Kotak cenderamata daripada kayu sandalwood
Kawasan dalam istana
Banyak lukisan mural di sini




















Kubah istana dengan hiasan seni gelas dan juraian lampu
 Insya-Allah, saya akan sambung lagi lawatan kita dalam Istana Mysore yang sangat luas ini. Sekian dahulu, selamat malam! Terima kasih kerana berkunjung ke Aku Dan Kafe Buku.

Tuesday 22 November 2011

Mysore - Hari Pertama

Perkara pertama yang saya lakukan sebaik sahaja masuk ke dalam bilik ialah mencari ruang untuk mencari ilham. Apa yang menariknya, bilik kami di Mango Suites memang benar-benar selesa. Jika anda melancong ke India dan mahukan budget hotel, pilihlah sekurang-kurangnya yang berstatus tiga bintang. Rata-rata, hotel begini mempunyai kadar bayaran sebanyak MYR150 atau kurang untuk satu malam (double occupancy). Biasanya termasuk sarapan pagi percuma dan kelengkapan membuat kopi dan teh. Hotel sebegini selalunya bersih dan mempunyai lokasi yang strategik. Apa yang menjadikan saya memilih Mango Suites? Sebenarnya saya mahukan sebuah 'business hotel'. Mengapa? Kerana konsep mereka lebih terbuka-mereka tahu apa yang saya perlu. Selalunya lokasi hotel sebegini terletak di tengah-tengah bandar. Paling tidak pun, berdekatan dengan tempat-tempat lawatan. Paling penting, tidak perlu risau fasal talian internet (nyawa saya) dan di Mango Suites, kami telah dilayan bagaikan bintang filem!

Okay, saya main-main saja! Tetapi hakikatnya, keramahan dan layanan yang kami terima di sini adalah antara yang terbaik di sepanjang lawatan kami. Memang boleh mencari tempat yang lebih murah seperti Youth Centre tetapi saya kurang yakin dengan kebersihan, keselesaan dan keselamatan di India. Pasti tidak adil untuk membandingkan Youth Centre di negara yang lebih maju seperti di UK dan USA. Tambahan pula, saya membawa Ummi. Bersolat dan mengaji adalah kebiasaannya setiap pagi dan sebelum tidur. Mana mungkin kami selesa melakukan hal sedemikian jika harus berkongsi bilik dengan orang asing?
Bilik yang sentiasa dilap dan kelengkapan sentiasa dipenuhi
Hotel ini berdekatan dengan sebuah pusat membeli-belah yang letaknya hanya bersebelahan. Dan setiap kali saya menyelak langsir bilik, saya disapa mesra dengan pemandangan sebuah perkampungan moden di Mysore. Tuan-tuan, siapa kata orang-orang di sini miskin-miskin belaka? Di sepanjang jalan-jalan di sekitar Mango Suites ini, kami lihat berceratuk banglo-banglo besar dengan pelbagai kemasan dinding dan hiasan laman yang sungguh terjaga. Siapa kata India sangat kotor? Mungkin di bandar-bandar besar, ada kebenarannya. Saya difahamkan di Mumbai dan Delhi ataupun Chennai, jurang perbezaan ekonominya sangat ketara. Jika anda masih ingat, di sanalah tempat tinggal 'Mr.Slumdog Millionaire'. 
Pagi pertama di Mysore, saya dan Ummi menjamu diri dengan sekeping dosa yang sangat besar. Terkejut saya melihat saiz dosa ini. "For two?..." soal saya kepada pelayan hotel. "No madam, only for you!" Aaaa?... .
Masala Dosa Mysore
Selesai menghabiskan sepinggan dosa, saya tiba-tiba rasa berdosa! "Mengapa?... " soal Ummi melihat saya yang serba-salah.
"Sejak datang ke India, kita asyik makan, makan, makan. Dah lama saya tak masuk gym. Minta-minta di Calicut nanti, gym di hotel berfungsi dengan baik," kata saya penuh mengharap. Memang saya telah memilih hotel yang dilengkapi dengan sebuah gymnasium kecil di sana. Tetapi manalah tahu, kan? Menurut emel pengurusnya, gym mereka lengkap dan masih boleh digunakan.  
Tanpa berlengah, saya menuju ke kaunter penyambut tetamu dan berbual-bual dengan petugas pada pagi itu. Saya nyatakan tempat-tempat yang mahu dilawati di Mysore. Saya rasa bertuah kerana Cik Anjum yang peramah sudi membantu saya merangka sesi lawatan yang bersesuaian dengan masa kami di Mysore. Dia memanggil sebuah auto dan merundingkan harga untuk kami. Kami akan di bawa ke Chamundi Hill untuk mengambil gambar dan seterusnya ke Mysore Palace, salah satu tempat yang menjadi impian saya di India.
Pemandu auto kami bernama Naveen. Orangnya tampan dan suka tersenyum. Naveen tidak pandai berbahasa Inggeris tetapi fasih dalam Hindi dan Kannada. Saya?... Bolehlah faham sikit-sikit. Cuma hendak bercakap yang belum boleh. Ada antara perkataan Hindi yang dipinjam dari bahasa Inggeris dan Arab. Jadinya, tidaklah sesusah mana. 
Pemandangan Mysore dari Chamundi Hill









Perkampungan kecil di kaki bukit Chamundi
Kedai dalam lorong sempit
















Kuil Chamundi
Untuk sampai ke Chamundi Hill ini, mengambil masa lebih kurang empatpuluhlima minit. Rupa-rupanya tinggi juga Chamundi Hill ini, macam sebuah gunung kecil pula. Dari atas Chamundi Hill, kita boleh nampak pemandangan seluruh Mysore. Memang saujana mata memandang. Tidak termuat dalam kamera kompak saya. Saya ada mengambil gambar dalam mood panorama. Nanti saya cuma masukkan di sini. Selepas memakir auto, Ummi menggesa Naveen mengikut kami ke kawasan kuil. Maklumlah, kami berdua saja yang bertudungnya pun. Sudahlah hari itu, hari Jumaat - hari kuil paling penuh dengan pengunjung yang datang membawa bermacam-macam hajat! Naveen yang pada mulanya agak keberatan akhirnya terpaksa beralah dengan pujukan dua orang perempuan Melayu ini. Melalui lorong sempit yang penuh dengan kedai-kedai menjual cenderamata, kami mengekori Naveen menuju ke tempat pemujaan. Eh, jangan risau, Ummi dan saya tidak berniat langsung hendak masuk biarpun dipelawa oleh Naveen. Kami cuma mahu mengambil gambar di sekitarnya dan menyaksikan sendiri keluasan kerajaan Mysore dari atas puncak bukit.


Beratur untuk dapatkan makanan percuma dari kuil















Bhaiya Si Penjual Kekacang
Naveen banyak bercerita kepada kami perihal Chamundi Hill ini. Ia dibina sebagai penghormatan untuk menyembah Dewi Durga. Dalam kepercayaan mereka, Durga ini sangat berkuasa sekali kerana memiliki pelbagai kesaktian kerana telah diciptakan sebagai The Warrior Goddess.
Membeli Sangkar Burung - cit cit cit
Dengan pertolongan Naveen, Ummi membeli sebuah sangkar burung perhiasan. Di dalamnya bertenggek seekor burung comel yang boleh berbunyi. Anak perempuan Ummi gemarkan benda-benda seperti ini. Kemudian, kami bertiga berhenti meneguk air kelapa Mysore. Saya berkongsi dengan Ummi.
"Tak sabar nak rasa air kelapa Calicut!" kata saya. Kerala memang dipenuhi dengan ladang pokok kelapa. Entah bagaimanalah rasa air kelapanya, ya?
Ummi dan Naveen memilih kelapa
Setelah menghilangkan haus dengan air kelapa muda Mysore, kami pun menuruni bukit Chamundi. Tiba di satu selekoh, saya terpandangkan seorang pemuda yang sedang terbongkok-bongkok meneropong ke arah kawasan Bandar Mysore dari tebing bukit. "Stop Naveen!" jerit saya. Auto yang dipandu Naveen berhenti betul-betul di sebelah pemuda tersebut.
"You want to see Mysore?... Rs10 each, madam!" kata pemuda itu. Saya menoleh kepada Ummi. Ummi mengangguk. Saya pun membayar dan membiarkan Ummi mengambil giliran dahulu.Melalui lensa teropong, kami dapat melihat beberapa tempat tarikan pelancong seperti Dasara Exibition Ground, trak lumba kuda, Lalitha Mahal Palace, Mysore Palace, Jagmohan Palace, Gereja Saint Philomena dan padang sasar Akademi Police Mysore. Kebetulan, kami mendengar bunyi tembakan dan berpeluang melihat pasukan polis Mysore berlatih menerusi teropong Rs10 tersebut.
Akhirnya ssya meminta Naveen membawa kami ke Mysore Palace. Hah, inilah tempat yang paling ditunggu-tunggu di sepanjang kembara India kami. Ummi pun bagai tidak sabar hendak masuk ke dalam. Melihatnya dari kejauhan pun sudah menambat hati!

Mysore di sebalik ranting kayu





Monday 21 November 2011

Mysore

Mysore-Preview
Setelah beberapa hari bergelumang dengan habuk dan hiruk-pikuk Bangalore, saya kembali melihat jadual perjalanan kami.

"Ummi, jom cari tiket pergi Mysore?... "
"Boleh... " jawab Ummi dengan sedikit senyuman. Inilah yang membuatkan saya bertambah sayang dengan Ummi. Tidak pernah menolak jika kita memerlukan bantuan. Jika di tempat tinggal kami, Ummi adalah 'orang kuat'. Melihat kepada kekuatannya itulah saya bertambah yakin, Ummi boleh 'survive' dalam kembara di negara Bollywood ini.

Bersama Dr. A.N, kami menaiki auto ke Stesen Bas Majestic. Perlahan-lahan menapak ke seluruh pelusuk stesen bas tersebut untuk mencari kaunter yang menjual tiket bas ke Mysore. Menurut Bhavana, ada sebuah bas berhawa dingin yang bertolak ke Mysore setiap hari. Oh, sudah tentulah beliau tidak pernah menaiki bas ke sana. Beliau memiliki kenderaan sendiri. Oleh kerana saya yakin dengan penerangannya, kami masih lagi berpusing-pusing di sekitar stesen bas Majestic. Dr.A.N juga telah pergi dari kaunter ke kaunter bertanyakan perihal bas ke Mysore.  

Boleh bayanglah, mereka bercakap macam ayam dengan itik. Melihat sahaja kepada rupa paras kami, ada yang tidak mahu langsung melayan! Di sini, orang yang berkulit putih (cerah) memang memiliki sifat hidung tinggi. Padahal, Bangalore telah dinobatkan sebagai sebuah bandar IT; yang mana peratusan penduduk yang celik-huruf dan berpendidikan tinggi adalah besar. Saya diberitahu, tidak akan ada apa-apa masalah di sini andai kita pandai berbahasa Inggeris. Penduduk di sini juga dikatakan lebih berfikiran terbuka dengan orang luar. Malangnya tidak semua situasi adalah benar. Pengalaman saya mencari tiket bas ke Mysore membuktikan sebaliknya.

Kami ditolak dari satu tempat ke satu tempat sehinggakan saya naik kasihan melihat Ummi dan anak Kak Sally. Kerana saya, mereka berdua terpaksa berlapar dan berpanas di bawah terik mentari Bangalore. Hmm... tiada pilihan lain, saya harus menghubungi Bhavana untuk kesekian kalinya! Dan saya paling tidak suka berbuat demikian memandangkan beliau sedang sibuk bekerja di pejabat. Dipendekkan cerita, Bhavana tidak pernah keberatan setiap kali saya menelefon. Mungkin kerana suaminya bersahabat baik dengan kawan saya, dia melayan saya seperti seorang tetamu khas. Seperti biasa, saya akan bertanya kepada orang tempatan dan menyerahkan telefon bimbit kepada mereka supaya Bhavana boleh menerangkan pula kepada saya selepas itu.

Rupa-rupanya, untuk membeli tiket ke Mysore, anda perlu menaiki bas biasa di platfom 17. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang sejam dan destinasi terakhir ialah sebuah stesen bas baru, Stesen Bas Satelite. Di situ, terdapat banyak kaunter bas. Mujur kami menegur seorang pemuda yang pada kiraan saya, boleh berbahasa Inggeris dengan baik - melihat kepada caranya, dia mungkin seorang pelajar kolej. Dengan muka yang manis dan ramah, saya menegurnya. Tepat sangkaan kami. Kami dapat membeli tiket ke Mysore dengan bantuan pemuda ini, saya gelarkan dia Mr.B. Kehadirannya telah memudahkan segala urusan kami. Ummi pula mengambil langkah yang lebih drastik... "Come, we go to Mysore together-lah!... Sit beside us in the bus,okey?"

Huh?... Ummiiiiiii! Saya lihat muka Mr.B merah menahan malu. Saya hampir-hampir berguling atas lantai kerana hendak ketawa. Ya, di sini, budayanya lain. Tidak sama dengan di tempat kita. Walau apapun yang kita tonton dalam filem Bollywood, realitinya tidaklah sama. Mereka memang nampak sangat sekular tetapi hakikatnya masih kental dengan sifat-sifat traditional. Saya memahami Mr.B lalu saya biarkan dia berjalan dan berbual dengan Ummi di hadapan. Bukankah saya anak perempuan Ummi yang kononnya sedang menyambung belajar? Berjalan dengan pemuda asing begitu di India memanglah agak tidak manis dan boleh mengundang pelbagai persepsi. Kelakarnya, Ummi memang bijak mengambil hati Mr.B. Tabik Ummi! 

Tips:
Dari platform 17 di Stesen Bas Majestic, naik 'shuttle bas' (yang berlepas setiap sejam, satu) ke Stesen Bas Satelite. Cari kaunter yang menjual tiket bas 'VOLVO With A/C' ke Mysore dan pastikan di mana anda harus menunggu. Harganya lebih kurang Rs270 seorang. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 5 jam. Jika tidak silap saya, terdapat beberapa trip ke Mysore dalam sehari.

Pemandangan ke Mysore-Mendamaikan hati saya
Di dalam bas, saya berbual-bual dengan Mr.B, bertanyakan keadaan Mysore, tempat-tempat menarik untuk dikunjungi dan pastinya juadah apa yang patut saya cuba jika berpeluang ke restoran nanti. 
Rupa-rupanya Mr.B tidak berasal dari Karnataka tetapi Andra Pradesh. Beliau merantau ke Mysore kerana belajar dalam jurusan Kejuruteraan. Menurutnya lagi, dia jarang makan di luar kerana sudah disediakan dewan makan di kolej. Saya ingin bertanyakan tentang kehidupan pelajar-pelajar di Mysore kerana hal ini berkait-rapat dengan subjek kajian saya di India. Malangnya apabila saya menoleh ke belakang, (kami duduk paling hadapan dalam bas)... dari belakang tempat duduk saya sehinggalah ke tempat duduk di bahagian belakang bas, SEMUA orang sedang khusuk menumpukan perhatian kepada kami berdua! Aduh... susah juga nak buat temuramah dalam bas! Nanti habislah satu bas tahu siapa saya. Hish, tak mahu!...
Saya lihat Ummi hampir-hampir terlelap. Saya pun mengambil keputusan untuk menutup mata tetapi menghadapi kesukaran kerana pada saya, rugi betul jika tidak melihat keindahan bumi India dalam perjalanan seperti ini. Banyak perkara yang unik pada mata saya. Di sini, saya melihat tanduk kerbau yang dicat dengan bendera India. Saya terfikir pula jika hal yang sama dilakukan kepada lembu-lembu di Malaysia, jadi patriotikkah ternakan kita? Haha... saya cuba mengambil gambar dari dalam bas tetapi oleh kerana kamera saya tidak dicipta untuk KEPANTASAN... makanya, banyak gambar menjadi blur!

~SOBS... enough! Not the time to sulk. Do whatever you gotta do within this constraint!~

Turun sahaja di Mysore, kami diserbu oleh 'ulat-ulat' teksi. Saya pun meminta pandangan Mr.B, beliau mencadangkan kami mengikut seorang lelaki India berkulit putih yang nampak macam boleh dipercayai. Kata lelaki itu, dia pemilik teksi. Memandangkan Mr.B harus kembali ke kolejnya dengan segera (mungkin juga tidak mahu terikat lama dengan kami)... saya pun bersetuju. Mr.B bertukar nombor telefon dengan saya lalu kami di bawa oleh lelaki India tersebut menyeberangi jalan dan menuju ke sebatang lorong di celah-celah kedai makan yang agak sempit dan suram. Entah mengapa langkah kaki saya langsung terhenti. Melihat saya berhenti, Ummi bertanya, "Mengapa?... "
"Kenapa nak masuk dalam lorong begini untuk naik teksi?" soal saya dalam Bahasa Melayu.
Ummi terdiam. Lelaki India itu beria-ia mengarahkan kami terus mengikutnya.
"No, no, no... I don't want to go there. I want to wait here or else, we'll take an auto," saya berkata tegas. Lelaki itu agak terperanjat.
"You have so many bags, madam!... Cannot go by auto, must take a taxi!"
"Never mind, I can call the hotel and ask them!" balas saya lalu pura-pura hendak mengeluarkan telefon bimbit.
"Ok, ok, ok... wait here. I'll call my friend," dia mula beralah.
Beberapa minit menunggu, sebuah teksi berhenti betul-betul di bahu jalan. Beg-beg dipunggahkan ke dalam kereta. Lelaki India itu menoleh kepada saya, "Pay me Rs100 now, then you pay Rs200 to this man."
Ewah?... Tahulah saya, memang sah dia ini 'ulat'. Saya lihat Ummi berkerut. Seperti biasa, saya yang malas hendak bertekak terus membayar. Habis itu, nak angkut keluar semua beg? Lelaki India itu tersenyum puas. "Madam, are you here to study? Or you want to sight seeing?"
"Hmm, I want to see Mysore first with my mom," jawab saya menunjuk ke arah Ummi. Lelaki India itu menghulurkan sekeping kad dan sehelai kertas. Di atasnya tertera lokasi beberapa tempat menarik di sekitar Mysore untuk di lawati.
"Call me, I'll give you special price, dont worry. Must call me... " katanya membuat isyarat.
Saya mengangguk beberapa kali.

Pemandu teksi yang berkopiah itu tersenyum ramah kepada kami. Saya lihat teksinya dilengkapi dengan meter. Tetapi tentulah tidak akan digunakan kerana 'perjanjian' sudah pun dibuat dengan rakannya sebentar tadi. Tiba-tiba dia jadi begitu berminat dengan kami, bertanya asal usul kami, apa yang kami hendak lihat di Mysore, adakah kami mempunyai saudara-mara di sini dan sebagainya.
"I am also a muslim, madam! Don't worry... call me if you need anything. In India, don't trust anyone, including that man who helped you earlier. He is a bad man. Don't trust him at all," kata-katanya begitu memeranjatkan kami. Bukankah mereka berkawan? Baru sebentar tadi saya lihat mereka bertukar-tukar senyuman dan mengangguk antara satu sama lain. Kini, fahamlah kami.

Siapa kata kita boleh menilai manusia melalui luaran? - Rupa-parasnya, taraf hidupnya, warna kulitnya, pendidikannya, bangsanya, negaranya, hatta agamanya?... Asalkan seseorang itu mengaku Islam, kita boleh terus percaya kepada kejujurannya? Tuan-tuan, hakikatnya kita semua adalah sama. SAMA!... kecuali dilihat pada takwa kita. Dan apakah layak kita menilai ketakwaan orang lain sebelum mencermin diri kita sendiri?... Lagi sekali saya menemui 'sesuatu' yang tidak berharga dalam kembara ini. Saya berdoa agar agar setiap pelajaran yang saya kutip tidak akan hilang sampai bila-bila dan berguna dalam kerjaya penulisan saya kelak. Insya-Allah... 

Saya mencapai telefon lalu menghubungi Hotel Mango Suites - memaklumkan kedatangan kami dengan teksi. Petugasnya berhati-hati memaklumkan saya tentang laluan yang sepatutnya saya ambil kerana Mango Suites sebenarnya terletak tidak jauh dari stesen bas tadi. Dia juga menyuruh saya melihat-lihat di sekeliling dan mencari sebuah pusat membeli-belah dan hospital. Mango Suites terletak di jalan belakang tempat-tempat tersebut, agak terkebelakang dari laluan utama kerana berada di tengah-tengah kawasan perumahan.

Mango Suites-A business hotel
Tiba di pintu masuk, petugas hotel menyambut kami. Mereka membantu mengeluarkan beg dan pengurusnya yang bertugas terus menghampiri kami. "How much is it?" dia bertanya padahal saya sudah pun membayar kepada pemandu teksi tersebut. Saya sudah mulai faham rentak Bollywood di sini. Saya juga tidak mahu menimbulkan keadaan yang tidak selesa antara pengurus dan pemandu teksi. Orang-orang di sini memang ada yang suka 'make a scene'. Jadi, saya cuma tersenyum dan menjawab, "I have already paid him."

Baiklah, insya-Allah malam nanti saya akan sambung kisah kembara kami di Mysore selepas pulang dari gym. Maaf saya ambil masa yang agak lama kerana sejak akhir-akhir ini, saya rasa kurang sihat. Adakah sakit lama saya berulang?... Wallahua'lam. Mohon dijauhkan Tuhan kerana urusan dan tanggungjawab saya masih banyak lagi yang belum selesai!...

Bersedialah untuk menjadi puteri dalam kembara Mysore!

Salam sayang, terima kasih kerana berkunjung ke sini.

Wednesday 16 November 2011

Okay, mari kita masuk ke dalam istana, jom!
Lampu batu

Check point pertama adalah di luar istana, di sini terdapat dua buah arca batu yang saya rasa merupakan dua buah lampu lama. Lihat pada corak lekuk berbentuk daun di sekelilingnya? Mungkin di sinilah tempat mengisi minyak dan sumbu. Sebenarnya ada sedikit penerangan jika anda mendengar audio betul-betul tetapi oleh kerana ramai orang bercakap - bising sedikit, jadi saya tidak dapat fokus dengan jelas.
Melangkah masuk ke dalam istana, anda akan melihat sebuah tangga menuju ke tingkat atas. Di sini, dipamerkan pula gambar-gambar ahli keluarga diraja yang kebanyakkannya berasal dari Kerajaan Mysore. Ia bolehlah disifatkan sebagai salasilah bergambar diraja.

Menuju ke balai tamu




Di tingkat atas pula, kita akan melangkah masuk ke dalam balai tamu yang sangat besar dan luas. Ini bahagian bersejarah dalam istana dimana, mahajara menerima tetamu dari dalam dan luar negara. Ia juga merangkap dewan tarian. Perhatikan sahaja hiasan pada dinding, siling, lampu dan keliling tingkap. Kesemuanya berada dalam keadaan yang asal. Saya menjadi ralit memerhatikan seni hiasan dalaman balai ini. Saya lihat Ummi berjalan laju sahaja di hadapan.

Besar, luas dan serbaguna.
Balai tamu ini sebenarnya penuh dengan lukisan-lukisan minyak. Maharaja Wodeyar adalah seorang peminat senilukis yang tegar. Langsung saya teringatkan seorang ahli keluarga yang begitu meminati senilukis. Apa lagi, klik sana, klik sini, biarpun dia tidak sampai ke sini, dapat tengok gambar pun jadilah; dalam hati berkata juga, janganlah bateri telefon bimbit habis pula. Sudahlah dilarang menggunakan kamera. Di sepanjang lawatan ini, ada sahaja Pak Guard yang senyap-senyap memerhatikan kami berdua dari pelbagai arah. Tidak tahulah jika Ummi perasan ataupun tidak tetapi saya sangat 'perasan'!... Sebabnya? Sungguh kekok rasanya hendak beraksi mengambil gambar betul-betul mengikut lensa telefon bimbit yang amat terhad keupayaannya ini. 

Koleksi gambar diraja



  
Gambar gadis-gadis istana
Banyak betul lukisan yang dipamerkan di sini. Menurut kata pekerja istana, tempat ini sudah dijadikan galeri seni keluarga Maharaja Wodeyar. Maka tidak hairanlah berbagai jenis replika lukisan yang terkenal turut mendapat tempat. Saya yang bukan arif tentang dunia senilukis ini tidak dapat menamakan lukisan-lukisan tersebut. Penerangan audio pun terlalu pantas untuk ditangkap. Tambahan pula 'mak guard' saya jalan cukup laju... laju! Selalunya dialah yang menunggu saya di hadapan. Sedangkan saya masih lagi terpinga-pinga di belakang. Mohon maaf, saya tidak boleh menyiarkan gambar-gambar tersebut kerana ada diantaranya yang X-rated. Harap maklum.  
Dari balai tamu ini, kita boleh melangkah keluar dan melihat persekitaran istana yang terbentang luas dan berberdebu.


Menara kecil dari luar
 Kawasan balkoninya yang agak sempit tidak membolehkan lensa kamera saya mengambil gambar dari jarak yang dikehendaki. Sudahlah Pak Guard asyik mengekor kami ke sana ke mari. Macamlah saya mahu dapatkan 'blue print' istana ini. Hendak buat apa ya? Merompak barang kemas yang bakal dipamerkan besok agaknya! Huh.

Baiklah, seterusnya, mari kita melangkah masuk ke sebuah beranda yang menempatkan bilik-bilik penginapan keluarga diraja termasuklah permaisuri dan puteri-puterinya. Satu perkara yang terlintas dalam fikiran saya ialah, maharaja ini ada gundik tidak? Jika diteliti ceritera dahulukala, mana ada raja yang tidak memiliki gundik? kan, kan, kan... . Tambahan pula di India yang mana perempuan-perempuannya memang cantik-cantik belaka!... Hish, tidak baik saya menanam prasangka buruk. But I couldn't help myself from imagining!... Yeah, I know... ~piap3x!... pukul mulut sendiri sebanyak tiga kali!~
Beranda istana

Menjenguk ke bawah beranda, terpandangkan sebuah bangku dan kolam ceramik yang sangat cantik. Hati terdetik pada pandangan pertama... eh, macam... . Tidak mengapa, nanti bila turun ke bawah akan terungkai juga misteri dalam kepala saya ini.
Di sekeliling beranda inilah terletaknya bilik-bilik peraduan. Kami turut leka menatap koleksi demi koleksi gambar-gambar himpunan maharaja dari zaman dahulu. Pelbagai peristiwa yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata telah dirakamkan dan tergantung pada dinding beranda ini. Hanya foto-foto di bawah yang boleh berbicara dengan anda. Hayatilah sendiri. 

Bangku & kolam ceramik di tengah laman

Ummi leka di beranda




  










Tiga Dara Pingitan


Lagi koleksi gambar















Jika gadingnya sudah sebesar ini...


Belalai gajah


Sepasang kaki gajah


Kasihan Ummi terlentok di kerusi
Waktu mengambil gambar Ummi, kami tidak tahu rupa-rupanya tidak boleh sentuh atau duduk di mana-mana. Oh, mujurlah Pak Guard yang ada di situ hanya tersenyum sumbing. Maklumlah, kami,kan tetamu dari jauh. Jauuuuuuuh!... .


Dinding istana penuh dengan hasil seni
 Setelah puas mengelilingi beranda,kami menuju ke tangga. Entah mengapa mulut Ummi yang ramah telah menegur seorang wanita tempatan yang datang bersama suami dan anak lelakinya yang masih kecil. Saya tidak ingat namanya. Tetapi melalui sepotong nama itu, saya tahu dia seorang Islam. Lebih menggembirakan kami apabila dia memberitahu, kampungnya terletak di Kerala. Tanpa berlengah, saya terus bertanyakan bagaimana hendak ke sebuah tempat bernama Calicut. Dia mengerutkan muka sambil memandang saya dengan pandangan... "Biar betul!..."

Saya sudah serik memberitahu apakah tujuan saya. Mereka selalu fikir bahawa saya adalah seorang penulis besar... menulis dalam majalah yang besar... entah-entah hendak melaporkan segala yang tidak baik dan segala kekurangan yang besar di India! Terasa betul betapa diri ini tidak punya apa-apa.
Lalu saya katakan, saya ada kawan di sana dan ingin menziarahinya. Tidak tuan-tuan, saya tidak berbohong. Memang saya mempunyai seorang dua kenalan yang menetap di sana. Namun mereka jarang keluar dari Kerala kerana itu apabila ditanya bagaimana hendak ke sana dari Bangalore, masing-masing agak terkedu. Hmm... .

Dipendekkan cerita, wanita itu memberitahu tiada jalan lain kecuali dengan menaiki bas dari Bangalore terus ke Calicut dan perjalanannya mengambil masa... lebih kurang 9-10 jam! Ya ampun... apa? 9-10 jam?... Aaarrggghhhh... .
Saya lihat muka Ummi sudah berubah. Menurut wanita itu lagi, jika hendak menaiki keretapi harus menempah tiket sekurang-kurangnya seminggu awal. Memang kami terperanjat betul. Hati saya menjadi cuak. Tidak mungkin itulah satu-satunya jalan untuk ke sana. Minta-minta Ummi tidak membatalkan niat hendak menemani saya. Tolonglah Tuhan!

Untuk mengelakkan rasa tidak sedap hati, kami mengucapkan terima kasih dan meneruskan lawatan dalam istana, masuk ke dalam kawasan lapang yang saya nampak dari atas beranda. Rupa-rupanya memang tepat jangkaan saya, bangku dan kolam ceramik itu memang berasal dari sebuah negara yang tidak asing bagi saya. Sepanyol - masih ingat Lentera Cinta Albaicin?

Hadiah daripada Kerajaan Sepanyol
Saya jadi terleka membelek corak lukisan pada seramik tersebut. Memang cantik sekali. Agaknya macam mana pula rupa jubin-jubin seramik dalam istana Alhambra ya?... . 
Selain dari itu ada juga sebuah pancuran. Sayang sekali pihak yang menjaga istana ini tidak menggunakan pancuran ini. Jika tidak, tentu suasana zaman dahulu terasa hidup kembali. 

Potret Maharaja-maharaja












Kertas dinding dari China & Lampu kaca 



Pancuran Istana
Dibawah ialah gambar salah satu perkahwinan diraja
yang pernah di adakan di istana ini. Jika ada teliti, lampu yang tergantung di siling itu masih wujud dalam keadaan dan warna yang sangat elok pada hari kami melawat di sana.
Selain dari itu, terdapat juga gambar istana-istana di Mysore. Gambar kapal laut yang membawa Prince of Wales dari England ke India. Juga gambar salasilah keturunan maharaja Mysore - The Wadiyars of Mysore. 



Perkahwinan Diraja

Kapal Prince of Wales

Mysore
Wadiyars of Mysore


 Setelah puas mengelilingi Bangalore Palace, kami memulangkan alat audio kepada petugas di meja yang berkenaan. Terlupa pula saya hendak memaklumkan dari awal, sebagai prosedur, anda perlu meninggalkan lesen memandu ataupun kad pengenalan. Setelah mengucapkan terima kasih, kami pun kembali menapak ke jalan berturap tar yang panjang. Alhamdulillah di kiri-kanan jalan tersebut, kami dipayungi pokok-pokok besar yang tinggi merimbun. 
Selamat tinggal Bangalore Palace